Bila Niat Baik Di Salah Erti
Manusia dijadikan Allah dengan sifat yang sangat unik baik dari segi luaran, pemikiran dan jiwanya. Mereka tidak pernah sama dan adakalanya terlalu sukar untuk kita fahami mengapa mereka sukar mengerti perasaan kita dan niat baik kita. Seperti kata pepatah ` rambut sama hitam, hati lain-lain' Kadangkala kebaikan yang kita taburkan, dengan niat ikhlas membantu, diibalas pula dengan racun yang sangat berbisa. Meskipun sukar untuk kita mengkaji mengapa ini semua terjadi, namun bila kita kembali kepada fitrah Allah, kita mula mengerti bahawa setiap apa yang berlaku adalah ketentuanNYA dan tersembunyi hikmah yang sangat besar dalam hidup kita.
Mungkin hari ini kita menangis meratapi nasib yang menimpa atau berasa kesal kerana kita sering disalahtafsirkan dalam perbuatan mahupun lisan kita. Namun Allah maha mengetahui segala apa yang berlaku... DIA berfirman dengan membawa maksud lebih kurang begini bunyinya, "bahawa, mungkin sesuatu yang kamu suka itu tidak baik untuk kamu dan sesuatu yang kamu tidak suka itu baik untuk kamu." Secara ringkasnya, DIA yang lebih mengetahui tentang perjalanan hidup kita. DIA yang memudahkan apabila kita menuju jalan buntu dalam hidup. Dia juga menjadikan keajaiban dalam hidup kita apabila logik akal sudah tidak dapat memikirkan penyelesaiannya.
Berpegang teguh pada kata-kata itu, aku menerima segala yang dilemparkan kepadaku sebagai rahmat dan satu jalan menghapuskan dosa masa lalu selain kembali memuhasabah diri. Aku merenung kembali kesilapan masa lalu dan melaluinya, aku kembali bangun membina keyakinan diri bagi memperbaiki apa yang pernah aku tersilap langkah. Benar kata pepatah Melayu, `Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali' maksudnya jangan terlalu baik dan terlalu beralah dalam hidup ini sehingga orang lain boleh memijak-mijak kepala kita seolah-olah kita tidak ada maruah. Kita perlu membela diri demi maruah kita. Tidak apa yang dapat aku minta pada Allah selain membuka kebenaran dan memberikan hidayah kepada mereka yang sering mempunyai sikap hasad dengki dan suka memfitnah sehingga boleh menjatuhkan maruah orang lain. Semoga suatu hari dia sedar kesilapannya dan kembali kejalan yang benar..
Tiada ulasan:
Terima Kasih :D