Dengar Boleh, Percaya Jangan!!

Mac 23, 2016


“Sekiranya benar kita ingin mencari kebenaran, maka kita perlu 
berani mendengar pendapat orang lain”


Apabila saya mendengar pandangan orang terhadap dua pihak yang bertelagah ataupun individu daripada satu pihak yang bertelagah, ataupun terhadap yang dirasakan membawa pengaruh untuk satu pihak yang bertelagah, prinsip saya adalah begini:

1. Jikalau pandangan dia hanya kepada sebelah pihak tanpa ada perbandingan yang baik daripada sebelah pihak yang lain, maka pendapat dia saya tolak ke tepi. Jikalau pandangan dia adalah kepada kedua-dua belah pihak, ada perbandingan yang jelas, itu saya akan dengar.

2. Jikalau pandangan dia disertai dengan kata-kata kesat dan maki hamun, maka pendapat dia saya akan tolak ke tepi. Jikalau kritikan dengan ayat yang sopan, bahasa yang tegas tetapi beradab, mesej yang keras tetapi bahasa yang tenang, itu saya akan dengar.

3. Jikalau pandangan dia tiada bukti kukuh, atas angin, atas cakap orang semata-mata, maka pendapat dia saya tolak ke tepi. Tetapi, sekiranya dia yakin dengan apa yang dia utarakan, dan apabila diberikan persoalan yang relevan, dia akan respons tanda tanggungjawab terhadap pendiriannya, itu saya akan dengar.

Saya nasihatkan kepada diri saya dan anda semua, usah kita taksub, teruja dengan pandangan yang menyokong, membela, ataupun menguatkan puak pilihan kita, individu pilihan kita, kumpulan pilihan kita dan menghentam, mengeji, ataupun mencela lawan kita, individu lawan kita, sehingga kita tidak peduli lagi benar ataupun salah. Asal hentam lawan kita, kita sebar. Asal sokong kumpulan kita, kita jaja. Jangan.  Anda kelihatan tidak berakhlak dengan cara itu.

Percayalah cakap saya. Anda benar sekalipun, jikalau anda tiada akhlak, kebenaran anda itu akan tertutup dengan akhlak anda yang buruk. Jangan rugikan diri anda, kumpulan anda, ataupun mereka yang anda sokong itu dengan sikap anda.

“Jikalau kita tidak senang untuk hidup dengan menghadapi cabaran, ujian, tomahan, dan cacian maka jangan kita sembang tentang kekayaan dan kejayaan dalam perniagaan.”

Tiada ulasan:

Terima Kasih :D

Dikuasakan oleh Blogger.