CARA MENTERNAK AYAM BAIK ATAU AYAM RATU

Februari 01, 2017





Salam hormat kepada semua pengunjung blog saya ini. Hari ini saya akan kongsikan serba sedikit tentang asas penternakan ayam baik atau ratu. Semoga bermanfaat kepada kita semua


Peringkat Tumbesaran Ayam


Peringkat 1 = peringkat usia anak ayam dari satu hari sehingga 2 bulan. Ketika ini perhatian serius diperlukan untuk meningkatkan daya hidup seekor ayam. Ayam perlu dijaga dari semua aspek termsuk suhu persekitaran, keselamatan serta makan minum. Anak ayam sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran dan sebarang unsur berbentuk tekanan meningkatkan kematian anak ayam. 

Peringkat 2 = peringkat usia antara 2-4 bulan. Ketika ini anak ayam mula diasuh untuk menjadi ayam dewasa. Ciri-ciri ayam dewasa matang mula wujud dan proses pembesaran berlaku. Namun ketika ini anak ayam masih lemah walaupun pada mata kasarnya sudah cukup bersedia. Kalau ketika ini kita mendedahkan anak ayam ini dipersekitaran yang asing dan sukar seperti cuaca melampau, anak ayam akan mudah mati. biasanya penternak memindahkan anak ayam yang menyerupai reban ayam dewasa tanpa pemantauan. Perkara ini banyak membunuh anak ayam secara langsung atau tidak. Sepatutnya anak ayam masih lagi dididik berikut resam si ibu akan mendidik anaknya sehingga berusia 3 bulan. Ketika umur 3 bulan, si ibu akan meninggalkan anaknya namun masih mengambil tahu sekiranya anaknya bermain dipersekitaran. Oleh kerana kita tidak mendidik anak ayam ini secara formal atau secara tabii, maka lanjutan tempoh masa mendidik perlu dilanjutkan kepada 4 bulan. 

Peringkat 3 = Anak ayam berusia 4 bulan sehingga matang. Ayam akan mula matang apabila mencecah usia 6 bulan. Namun untuk ayam jantan jangkamasa 1 tahun diperlukan untuk mencecah usia matang sebagai baka pejantan. anak ayam sudah digelar ayam matang pada masa ini. Dari usia 4 bulan hingga 6 bulan, anak ayam biasanya akan membesar dengan cepat untuk menyediakan diri untuk hidup bersaing di dalam reban. Anak ayam mula nampak cergas serta meniru perbuatan biasa ayam matang lain. Ayam boleh hidup sehingga 8-10 tahun sekiranya dibiarkan lepas bebas dan antara 4-5 tahun jika diternak secara kurungan. 


Penjagaan Anak Ayam

  1. Menyediakan reban asuhan @ brooder. Keluasan mengikut kuantiti anak ayam. Pastikan tiada lubang yang boleh menyebabkan angin luar masuk. Reban anak ayam hendaklah sentiasa dibersihkan bagi mengelakkan penyakit
  2. Menyediakan sumber haba @ mentol untuk anak ayam memanaskan badan. Mentol 5 watt untuk hari biasa manakala mentol 15 watt untuk musim kentujuh. Ketika umur anak ayam bawah 1 bulan lampu hendaklah dipasang 24 jam. Suhu yang baik untuk anak ayam ialah 37c ketika umur bawah 1 minggu dan menurun sebanyak 1c pada setiap minggu. 
  3. Menyediakan bekas makanan secukupnya bagi membolehkan anak ayam mendapat makanan secukupnya. 


Perkara Penting Supaya Anak Ayam Kekal Sihat


1) LOKASI REBAN DIDIK YG SESUAI
2) SUHU YG BAIK
3) PENGUDARAAN YANG BAIK
4) KEBERSIHAN
5) REBAN DIDIK YG SELESA MENGIKUT JUMLAH ANAK AYAM
6) PENGASINGAN MENGIKUT USIA
7) MINUMAN - DI TUKAR SETIAP HARI
8) MAKANAN - SESUAI MENGIKUT USIA ANAK AYAM
9) UBAT/VITAMIN
10) NYAMUK

HURAIAN

1) Lokasi = reban didik hendaklah berada di tempat yang boleh dimasuki cahaya matahari.

2) Suhu = selain penyediaan mentol, thermometer juga hendaklah disediakan bagi menyukat suhu dalam reban. Ini bagi memastikan suhu berada dalam keadaan baik dan sesuai. Jangan biarkan suhu di bawah 29c.

3) Pengudaraan yang baik = sistem pengudaraan mestilah baik bagi membolehkan udara kotor keluar dan udara bersih dapat masuk dengan baik.

4) Kebersihan = ambil masa sekurang2nya 1 hari seminggu untuk membersihkan reban.

5) Reban mengikut kuantiti anak ayam = pastikan ruang untuk anak ayam cukup selesa bagi mengelakkan anak ayam stress dan mati.

6) Pengasingan mengikut usia = anak ayam hendaklah diasingkan mengikut usia bagi mengelakkan anak ayam yang besar menindas anak ayam yang kecil.

7) Air Minuman ditukar setiap hari = air cukup penting bagi ayam terutama pada musim panas. Air seeloknya ditukar setiap hari terutama bagi air yang mengandungi larutan ubatan.

8) Makanan mestilah sesuai mengikut usia = anak ayam yang berusia 3 hari hendaklah diberikan air minuman sahaja dahulu sebelum diberi makanan. Ini kerana system pencernaan anak ayam masih lembut lagi. Makanan untuk anak ayam hendaklah diberikan apabila sudah mencapai usia 4 hari dengan dedak halus.

9) Ubat / vitamin = ubat dan vitamin sememangnya diperlukan untuk menjamin kesihatan anak2 ayam. Tapi pemberian ubatan/vitamin ini perlulah pada usia yg sesuai.

10) Nyamuk = banyak penyakit anak ayam berpunca dari gigitan nyamuk. simptom penyakit tadi boleh dilihat apabila anak2 ayam tadi telah mengalami masalah mata berair seterusnya menjadi buta. Jadi gunalah kelambu selama 2/3 minggu. Apabila didapati anak ayam tadi sudah boleh melindungi dirinya sendiri, kelambu tidak perlu digunakan lagi untuk di pasang di reban didik.


Pengurusan Anak Ayam


Kejayaan pengurusan anak ayam adalah satu titik tanda kejayaan seseorang penternak yg mahu memulakan projek ternakan ayam baik. Jika penjualan anak atau penjualan ayam dewasa dilakukan dengan membesarkan benih baka sendiri, pengurusan anak ayam yg betul akan membawa kita kejalan kejayaan. Terdapat 3 jenis pembenihan yg biasa dilakukan oleh penternak ayam di Malaysia.


1. Pembenihan oleh induk secara semulajadi.. cara ini sangat lazim dipraktikkan oleh penternak sambilan atau secara kecil2lan yang menyerahkan proses penetasan dan penjagaan kepada ibu ayam itu sendiri. Kebiasaanya bilangan induk tidak melebihi 10 ekor dimana kurang persaingan dan huru hara dalam kotak penetasan. Telur yg ditetaskan dijaga dan diasuh oleh ibu ayam sehingga anak ayam berusia 2-3 bulan sebelum bercerai susu dengan ibunya. Penternak hanya memantau pembesaran dan menjaga keselamatan pada waktu malam dengan mengurung di dalam bekas atau reban khas untuk mengelakkan ancaman musuh.


2. Pembenihan induk dengan bantuan.. cara ini biasanya digunakan oleh penternak sederhana besar apabila bilangan induk menghampiri 50 ekor. Bagi mengelakkan persaingan atau kepadatan reban penternak akan memisahkan anak ayam dari ibunya sebaik sahaja anak ayam itu kering bulunya selepas menetas, perlu diingatkan anak ayam seboleh-bolehnya diambil sebelum ibunya membawa turun anak tersebut dan telah mengajar anaknya makan. Ini kerana secara lojiknya anak ayam sudah mula bergantung kepada ibunya untuk makan. Sekiranya kita pisahkan anak ayam pada peringkat ini ada kemungkinan anak ayam tidak dapat hidup atau makan dengan sendiri dan akhirnya mati. Anak ayam yg telah dipisahkan akan ditempatkan didalam Brooder selama sebulan hingga 2 bulan sebelum dilepaskan kereban kecil khas untuk peralihan. pada peringkat ini anak ayam diberi makan starter dan diberi ubat antibiotik untuk daya tahan penyakit. Biasanya anak ayam perlu diasuh sebegini sekiranya reban kita mengeluarkan anak ayam lebih dari 100 ekor sebulan. Dengan adanya sistem ini peratusan anak ayam mati dapat dikurangkan.


3. Pengurusan anak ayam dari inkubator.. untuk penternak yg mempunyai ternakan yg melebihi 200 ekor dan kawasan reban adalah terhad. Semua telur dikutip dah dimasukkan ke dalam inkubator. kita boleh menentukan tarikh menetas telur dengan memasukkan telur dalam satu group. Tujuan perkumpulan dilakukan adalah untuk memudahkan kita mengurus anak ayam yg hampir sebaya umurnya dan akan membesar sekata mengikut usia. namun harus diingatkan telur yg dikumpul perlu tidak melebihi 7 hari dari ianya dikeluarkan. Setelah telur menetas anak ayam akan dimasukkan ke dalam brooder sebelum dilepaskan ke reban khas untuk asuhan peralihan. Cara pengurusan ini akan menyebabkan kadar penghasilan telur direban kita lebih tinggi kerana masa pengeraman dan pengasuhan anak ayam diambil alih dan ibu ayam akan bertelur kembali selepas 3-4 minggu. Untuk jaminan pengeluaran benih yg konsisten cara ini perlu dilakukan namun kosnya agak tinggi kerana melibatkan penggunaan tenaga dan masa.


Reban


Reban Asuhan 
Pastikan bekas untuk ayam mengeram mencukupi. 
Letakkan guni, lalang @ rumput kering / kain terpakai untuk alas tempat mengeram. 
Tuliskan tarikh pada bekas apabila ayam mula mengeram. 
Apabila anak ayam mula menetas, pindahkan anak dan ibu ayam ke reban asuhan. 
Apabila kesemua telur ayam telah menetas, biarkan anak ayam bersama ibunya selama 2 minggu. 
Setelah itu pindahkan anak ayam ke rumah sementara. 
Pastikan ubat merah 707 (bancuhkan dengan air) diberikan kepada anak ayam itu. 


Reban Pembakaan 

Kengkang pergerakan ibu ayam supaya tenaga yang ayam ini perolehi dari makanan digunakan sepenuhnya untuk mengeluarkan telur. Ibu yang dibiarkan bebas tanpa kawalan akan menggunakan banyak tenaga untuk beraktiviti dan merayap. Akhirnya bilangan telur yang kita perolehi berkurangan serta kualitinya akan menurun. 

Tempatkan ayam di kawasan yang sederhana besar. Tujuannya bagi memudahkan berlakunya proses persenyawaan antara si jantan dan si betina. Tanpa persenyawaan, maka telur yang dihasilkan sudah tidak bernilai dari segi penghasilan baka. 

Apabila Ibu Ayam dan si jantan ditempatkan dalam satu tempat terkawal, peratusan telur yang dikeluarkan yang berbenih akan lebih tinggi. 

Satu lagi ciri ayam baik ini, adalah sikap mencari hariki untuk mengawal si betina. Jika kita membiarkan baka kita berada dalam satu kelompok 30-50 ekor ibu dengan 5-6 ekor jantan kesulitan akan kita lihat di dalam reban. Ini kerana dalam satu-satu masa bukan semuanya ibu ayam kita dalam keadaaan sedia untuk mengawan. 

Bagi si betina yang belum dalam fasa nak bertelur, biasanya akan melarikan diri dari dipanjat oleh si jantan. Maka akan berlakulah kejar mengejar dan pergaduhan antara ayam. Yang lagi parah apabila hanya beberapa ekor sahaja si ibu yang berada dalam berahi untuk mengawan. Apabila hanya sedikit sahaja si ibu untuk 'dipanjat' maka apabila sampai masanya si jantan memanjat, akan berlaku serangan dari si jantan lain yang akan cuba merampas takhta untuk mengawan, sekiranya ini kerap berlaku maka kesempurnaan proses mengawan itu akan terganggu. 

Makanan juga adalah perkara yang penting bagi seekor ibu ayam, makanan yang mempunyai cukup zat akan meningkatkan kadar pengeluaran telur. makanan perlu diberi mengikut jadual serta kita perlu memberi makanan tambahan lain termasuk tumbuhan hijau. Ubatan seperti vitamin, antistress dan elektromisis juga perlu diberi dari masa ke semasa untuk menjamin kesihatan ibu dan si jantan. 

Reban yang kita bina khas untuk induk perlulah menghadap matahari terbit bagi membenarkan matahari pagi masuk ke dalam reban dan mengeringkan lantai reban. Jika kita silap menghalakan reban kita, gejala lantai lembap dan berlecah akan terjadi. Dan bila bercampur pula dengan najis dari induk ini, bau serta penyakit mula menyerang. 

Sediakan bekas telur yang sesuai bilangannya berbanding jumlah ibu yang ada. Jika jumlah terlalu sedikit, kekecohan akan berlaku dan kesesakan yang tidak diingini tak dapat dielakkan. Kesesakkan ini biasanya disumbang oleh si ibu yang telah diambil telurnya tetapi masih juga mahu meneruskan aktiviti mengeram. 



Langkah Penting Menyambut Anak Ayam Inkubator


1. Sediakan kotak plastic pvc. Bersihkan kotak ini dan lapikkan dengan surat khabar lama untuk memudahkan kerja pembersihan. Kemudian satu lapisan tisu diletakkan di atas surat khabar. Tujuan tisu ini adalah untuk memberi lebih cengkaman kepada anak ayam ini ketika kali pertama menjejakkan kaki selepas keluar dari inkubator.

2. Tisu ini hanya digunakan sekali dan dibersihkan atau dikeluarkan selepas 3 hari keluar dari inkubator dan diganti dengan lapik biasa.

3. Sediakan bekas air biasa yang diisi dengan air biasa dengan suhu bilik, bukannya air suam atau air sejuk. Anak ayam seharusnya tidak mendapat kejutan suhu semasa kali pertama anak ini minum.

4. Taburkan dedak dengan kuantiti sedikit di atas lapisan tisu tadi dan bukannya dalam bekas makanan ayam biasa. Ini hanya dilakukan untuk kali pertama ayam ini makan.

5. Lampu berkuasa 5 watt digantung di dalam bekas plastik ini dan seeloknya ketinggian mentol ini untuk kali pertama atau hari pertama adalah sedikit sahaja tinggi dari kepala anak ayam ini(1/2 inci).

6. Ketinggian lampu diubah mengikut minggu usia anak ayam ini, pada penghujungnya sebulan jarak mentol dengan anak ayam seharusnya pada setinggi 4 inci atau lebih demi melatih anak ayam 'memahami persekitarannya'.

7. Pemindahan anak ayam dari inkubator boleh dibuat sedikit demi sedikit. Jangan biarkan anak ayam ini terlalu lama diluar tanpa bantuan cahaya.

8. Anak ayam yang sudah cukup cergas dan dapat berdiri tegak dipindahkan ke brooder.

9. Mulut atau muncung paruh anak ayam itu direndamkan sedikit dibekas air supaya anak ayam ini tahu terdapat sumber air, anak ayam dibiarkan merasa air itu seketika dan biarkan dia mencari air itu sendiri dalam proses'belajar' berdikari.

10. Anak ayam dibiarkan berada dalam lingkungan cahaya mentol sepanjang masa semasa berusia dibawah 2 minggu dan pada waktu malam sahaja selepas itu. Setelah usia mencecah 1 bulan lampu hanya dipasang sekiranya hari hujan atau cuaca sejuk.


11. Pindahkan anak ayam ke reban asuhan luar setelah didapati anak ayam sudah cergas.


Faktor Yang Mempengaruhi Penetasan Dalam Inkubator


Antara punca masalah telur tak menetas adalah:

1. Telur yang dijangkiti kuman. Tanpa disedari anda telah memasukkan sebiji dua telur yang telah tercemar dengan kotoran seperti lumpur dari kaki ibu atau bekas telur itu sendiri, ataupun semasa anda mengutip telur tersebut terdapat sebiji telur yang telah pecah dan cairan di dalam telur pecah tersebut telah mencemari telur yang anda kutip. Telur yang tercemar ini akan menjangkiti telur yang lain sekiranya anda memasukkannya di dalam inkubator yang telah mengandungi telur lain.


2. Telur yang tiada benih atau tidak disenyawakan oleh si jantan. Untuk ternakan cara lepas bebas, peratusan untuk telur tidak disenyawakan agak tinggi akibat kegagalan si jantan memanjat si betina. Ini kerana persaingan antara jantan2 yang ada atau kawasan ternakan yang terlalu luas menyebabkan si jantan berjauhan dengan si betina. Telur itu tidak akan menetas walau apa pun dilakukan terhadapnya.3. Jangkitan sekunder di mana kotoran dan kuman dari tangan semasa kita memusingkan telur berpindah kepada telur tanpa kita sedari. Kadangkala kuman ini juga boleh di dapati dipersekitaran bekas inkubator itu sendiri berikutan penggunaanya yang kerap. Jangkitan sekunder ini juga boleh terjadi apabila telur bersentuh dengan najis anak ayam yang dibiarkan mengering bulunya selepas menetas di dalam inkubator.


4. Masalah teknikal seperti suhu tak stabil, kelembapan kurang atau kegagalan memusingkan telur itu sendiri.

5. Pengaruh baka atau genetik telur seperti ibu muda yang kali pertama mengeram, ibu yang telah dijangkiti penyakit sebelum ini seperti jangkitan disaluran reproduktif dan ibu yang kekurangan zat makanan seharian.


6 Telur yang telah rosak kerana dibiarkan lama diluar sebelum dimasukkan di dalam inkubator juga akan menurunkan peratusan telur menetas.



Candling Telur


Tujuan kita candling atau menyuluh telur adalah untuk memeriksa kandungan embrio di dalam telur kita. Perkara candling selalu diabaikan oleh pengguna inkubator dengan beranggapan ianya tidak penting dan proses pengeraman diserahkan sepenuhnya kepada Inkubator. Padahal sebelum kita boleh memasukkan sebarang telur, proses candling perlu dilakukan untuk proses saringan ujian telur. Sekiranya tidak lulus ujian ini perlu kita buang atau gunakan untuk tujuan harian, jgn sesekali mencuba meneruskan proses pengeraman. Antara faktor yg perlu dinilai semasa proses pemilihan adalah;

1. Perhatikan sebarang retakan pada telur, walaupun terdapat cara untuk menampal retakan namun jalan terbaik adalah tidak memilih telur tersebut. Retakan ini akan jelas dilihat dari bayangan telur tersebut sama ada kecil atau besar garisannya.

2. Perhatikan sebarang perbezaan ketara toner atau kecerahan kulit di setiap bahagian telur. Mungkin anda akan nampak seperti satu tompok seperti lebih terang dari bahagian yg lain, ini bermakna kawasan tersebut mempunyai kulit yg nipis. Kemungkinan telur ini untuk menetas adalah sedikit kerana ketidaksamarataan yg menunjukkan kekurangan kalsium.

3. Perhatikan sekiranya terdapat sebarang keganjilan kepada tompok gelap (kuning telur) di dalam telur tersebut seperti saiz, bentuk dan sebagainya. Kadang2 ada telur yg tiada kuning telur yg disyaki telur dari ayam jantan dan sebagainya.. telur seperti ini kalau dieramkan tidak akan mendatangkan anak ayam.

4. Perhatikan juga keadaan luaran telur tersebut. Telur perlu bebas dari kotoran seperti tahi ayam dan sebagainya.. sekiranya terdapat kotoran sila bersihkan dengan mengosok telur menggunakan kain bersih yg kering. Jika terdapat kotoran kering gunakan kuku yg berlapik dengan tisu untuk membuangnya. Kotoran ini akan menggangu proses pengeraman kerana telur tidak akan mendapat suhu sekata disetiap permukaan telur. kotoran ini juga akan menjangkiti embrio. Ada juga pengusaha menggunakan kertas pasir yg paling halus untuk mengeluarkan kotoran degil namun perlu diingatkan kulit telur akan haus atau terhakis.. ini juga boleh menjejaskan kualiti telur yg hendak dieramkan.

Setelah pemeriksaan dilakukan anda boleh melakukan proses pengeraman di dalam inkubator. Telur perlu diperiksa(candling) sekali lagi dalam masa 4-5 hari selepas kita mengeramkan, periksa sama ada terbentuk jaringan urat darah pada kuning telur. Jika tiada kita boleh mengeluarkan telur tersebut dan menggantikan dengan yang baru. Telur ini biasanya tidak disenyawakan oleh penjantan maka embrio tidak akan terbentuk.

Candling sekali lagi akan dilakukan pada hari ke 10 yang mana apabila kita menyuluh, bayangan embrio dapat dilihat biasanya saiz embrio sudah 2/3 dari saiz telur. Pada ketika ini mata dan kepala telah jelas kelihatan..kita juga mula melihat paruh telur pada usia 12 hari ... embrio akan mula melakukan pergerakan didalam cecair plasenta telur.

Kita juga boleh melakukannya sekali lagi apabila telur telah berada selama 15 hari di dalam inkubator. Pada peringkat ini embrio telah memenuhi ruang dalam telur namun kita dapat melihat dengan jelas ruang udara pada bahagian tumpul telur. Perlu diingatkan embrio yg telah mencapai usia 17 hari keatas sebolehnya tidak diganggu kerana embrio telah menjadi anak ayam sepenuhnya dan mula melakukan aktiviti menguatkan badan untuk proses penetasan. Sila keluarkan sebentar telur yg hendak dicandling bagi memudahkan proses dilakukan.

rujukan : agrovillage

Tiada ulasan:

Terima Kasih :D

Dikuasakan oleh Blogger.