Hibah Takaful Kaedah Alternatif Kepada Pembahagian Harta.
Hibah Takaful Kaedah Alternatif Kepada Pembahagian Harta.
MELIHAT kepada masalah pembekuan harta yang semakin meningkat saban tahun, umat Islam diingatkan supaya lebih mengambil berat pelaksanaan perancangan harta. Islam menitikberatkan lima keperluan asasi manusia sebagaimana disebut di dalam Maqasid Shariah iaitu demi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta.
Maqasid Shariah bermaksud objektif atau matlamat. Ia adalah makna dan tujuan dikehendaki syarak dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan manusia. Adalah menjadi kemudaratan sekiranya harta tidak dapat diuruskan dengan baik. Soal kefahaman dan kesedaran juga adalah faktor utama harta tidak dapat diuruskan sebaiknya, malah bakal mengambil tempoh yang panjang untuk diagihkan.
Perancangan pengurusan harta dalam Islam merangkumi dua aspek iaitu perancangan harta ketika hidup dan pembahagian harta selepas kematian pemilik harta. Antara bentuk perancangan harta ketika hidup adalah seperti hibah, wasiat, wakaf, sedekah dan nazar.
Pengurusan harta selepas berlaku kematian pula ialah pembahagian harta pusaka tertakluk kepada hukum faraid. Walaupun faraid berperanan dalam urusan pembahagian harta pusaka, pengagihan harta melalui cara itu mampu menjurus kepada masalah tertentu jika tidak ditadbir dengan sempurna serta tidak difahami dengan betul.
Menurut kajian, sebanyak RM66 bilion harta pusaka umat Islam tidak dituntut. Dapatan kajian itu menunjukkan apabila seorang waris meninggal dunia, jumlah waris yang berhak ke atas pusaka semakin bertambah lalu menjadikan penyelesaian pengagihan harta semakin rumit.
Masyarakat hari ini perlu lebih didedahkan cara pengagihan harta ketika hidup bagi mengelakkan masalah yang bakal timbul selepas kematian mereka. Kita semua sering mendoakan untuk mendapat pengakhiran hidup yang baik, maka tentulah kita mahu pemergian kita tidak meninggalkan masalah.
Apa lagi berkaitan pengurusan harta peninggalan kepada waris yang tinggal. Jika sepanjang hayat kita berusaha mencari rezeki yang halal, mengumpul serta menjana keuntungan dengan cara terpuji, maka sudah tentu kita mahukan harta itu dimanfaatkan sebaiknya.
Perancangan harta dan mengurus risiko adalah aspek yang mesti dilaksanakan masyarakat. Salah satunya adalah menyertai Takaful sebagai langkah melindungi harta dan pengurusan risiko. Industri takaful menjadikan instrumen hibah sebagai salah satu mekanisme pengagihan manfaat atau pampasan takaful.
Hibah adalah satu konsep di mana seseorang menghibahkan manfaat takaful untuk diberikan kepada penerima hibah yang dikehendaki sekiranya berlaku musibah. Melalui penyertaan takaful, peserta seolah-olah sudah membuat perancangan teliti dan sempurna apabila mereka boleh merancang mengagihkan manfaat takaful kepada pihak yang dikehendakinya ketika dia hidup dengan menetapkan kadar yang dikehendakinya.
Dengan itu, penerima hibah yang dilantik mempunyai hak ke atas manfaat takaful setelah peserta takaful meninggal dunia berbanding kaedah pelantikan wasi yang menggunakan penama sebagai pemegang amanah. Melalui konsep hibah juga, peserta mempunyai hak untuk menghibahkan kepada bukan waris seperti anak angkat dan ibu bapa yang tidak beragama Islam.
Selain itu, kaedah hibah juga membolehkan peserta secara tidak langsung menyediakan satu dana kecemasan kepada waris terdekat seperti ibu bapa, isteri dan anak-anak sekiranya peserta takaful meninggal dunia.
Pengagihan manfaat takaful boleh diuruskan dengan mudah tanpa melalui proses faraid. Malah, instrumen hibah juga dapat membantu mengurangkan masalah pembekuan harta dalam kalangan masyarakat serta membantu masyarakat membuat perancangan dan pengurusan harta yang lebih efisien.
Zul Fattah
AIA Public Takaful Life Planner
Tiada ulasan:
Terima Kasih :D